Friday, February 26, 2010

Apa Yang Perlu Pelanggan Ketahui

Salam semua,

Entry kali ni cik andam nak kongsi sesuatu yang mungkin boleh sama-sama kita pertimbangkan sekiranya ingin mendapatkan khidmat solekan daripada mana-mana mak andam. Sebab kadang-kadang ada diantara pelanggan tidak pernah tahu atau terfikir tentang apa yang perlu mereka sediakan dan lakukan sepanjang proses mekap dilakukan.

1. Sediakan ruang yang selesa dari segi pengudaraan dan pengcahayaan ketika proses solekan dilakukan. Pengcahayaan amat penting untuk memastikan struktur wajah dan warna kulit dapat dilihat dengan jelas bagi menentukan bentuk kening, shading, warna foundation, eyeshadow, lipstik serta keseluruhan mekap bertepatan dengan kesesuaian wajah dan kulit masing-masing. Manakala proses mekap yang kadangkala memakan masa 1 jam setengah sehingga 2 jam menuntut ruang yang selesa dari segi pengudaraan bilik. Sekurang-kurangnya sediakan kipas angin ketika proses solekan dijalankan. Itu pun sudah memadai bagi keselesaan pengantin dan mak andam.

2. Tak salah sekiranya pengantin berbincang atau nyatakan kehendak mekap yang disukai. Namun anda juga harus tahu bahawa tidak semestinya setiap kehendak pengantin itu dapat diterima oleh mak andam kerana mak andam mungkin mempunyai pandangan yang lebih arif dalam menentukan solekan yang lebih sesuai dengan struktur wajah, warna kulit, warna persalinan serta tema majlis yang diadakan. Jadi seeloknya cubalah berbincang untuk mendapatkan hasil yang disenangi oleh kedua-dua pihak. Sekiranya anda yang telah memilih mak andam tersebut, maka apa kata anda serahkan kepercayaan mak andam yang dipilih untuk lakukan yang terbaik. Insyallah.

3. Isu ni mungkin agak sensitif bagi sesetengah orang. Ada diantara pengantin tidak mahu keningnya di usik langsung atas sebab-sebab tertentu. Sebagai mak andam, kami akan sentiasa menghormati dan menuruti kehendak pelanggan dan tidak akan sesekali memaksa pelanggan. Malah mungkin memudahkan kerja kami yang tidak perlu meluangkan masa untuk membersihkan/mencukur kening anda. Namun kadangkala ada diantara pelanggan memiliki kening yang agak hitam, tebal atau mungkin bentuk kening yang menurun atau lain-lain menimbulkan masalah untuk membentuk kening tanpa membersihkan/mengcukur kening mereka. Wajah anda mungkin akan kelihatan sedih, garang atau sebagainya sekaligus mewujudkan tanggapan yang tidak elok diatas hasil kerja kami nanti. Sebaik-baiknya minta pendapat daripada mak andam mengenai perkara ini kerana ada juga diantara anda yang telah memiliki kening yang cantik atau mudah dibentuk tanpa dicukur/dibersihkan. Kami mengharapkan agar pelanggan dapat memahami dan menyerahkan kepercayaan kepada kami untuk memastikan hasil solekan yang cantik dan sempurna di mata anda dan tetamu. Namun itu tidak bermakna kami memaksa anda untuk melakukan sesuatu yang tidak ingin anda lakukan. Tepuk dada tanya selera.

4. Bagi masa yang secukupnya untuk mak andam anda menyiapkan solekan anda sehingga ke sentuhan terkhir. Kadangkala ada diantara tetamu yang suka menakut-nakutkan pengantin dengan menggambarkan solekan yang dilakukan hodoh dan sebagainya, sedangkan proses mekap belum pun selesai sepenuhnya. Perkara ini bukan sahaja akan menimbulkan rasa tidak senang dikalangan mak andam malah boleh mengganggu emosi pengantin yang risau akan hasil solekannya nanti. Jadi seeloknya sila pastikan hanya tetamu tertentu sahaja yang dibenarkan berada bersama pengantin ketika proses solekan di lakukan.

5. Pastikan juga anda telah bersedia untuk disolekkan mengikut masa yang telah ditetapkan. Mandi, cuci muka, makan dan selesaikan perkara yang perlu sebelum mak andam tiba kerana kebanyakan mak andam lebih suka memulakan kerja mereka sebaik sahaja sampai atas sebab-sebab tuntutan kerja, komitmen atau urusan lain

Dengan perkongsian ini, diharapkan para pelanggan akan lebih memahami, bekerjasama sekaligus memudahkan urusan kedua-dua belah. Insyallah kami akan sentiasa lakukan yang terbaik untuk anda.

Pertunangan Kak Long Hanisah


Mengambil keberkatan Hari Kebesaran Nabi Muhammad s.a.w, Kak Long Hanisah telah memilih hari ini untuk melangsungkan pertunanganya bersama pasangan. Struktur wajah kak Long yang bujur tidak memerlukan shading yang ketara namun kulitnya yang menggelupas dengan teruk akibat kesan cuaca panas memerlukan lebih ketelitian ketika menyiapkannya. Bimbang juga sekiranya kesan solekan nanti akan memburukkan lagi keadaan kulit ataupun mungkin akan menyebabkan hasil solekan tidak begitu 'mesra' dengan kulit. Namun alhamdulillah, berkat usaha dan kepercayaan daripada Kak Long, kesan menggelupas yang teruk itu dapat dilindungi dengan penggunaan foundation yang tepat serta bantuan spray ajaib Mac. Mujur ada Kak Nik yang suggestkan saya beli spray ni. Tq Kak Nik. Dan nasihat saya kepada anda, pastikan sentiasa memakai pelindung UV atau krim wajah yang mengandungi SPF bagi mengelakkan kerosakan kulit akibat kesan cuaca panas.

p/s: Atas permintaan Kak Long juga, keningnya hanya dirapikan dan tidak dicukur.

Monday, February 15, 2010

Pertunangan Fizah




p/s: atas permintaan tuan punya badan, keningnya langsung cik andam tak usik tau. So inilah hasilnya. Alhamdulillah, Fizah suka dengan hasil mekap cik andam. Kepada Fizah dan pasangan, tahniah.